"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" IMAM NAWAWI….

PURDAH PADA PANDANGAN KEBANYAKAN ULAMA


Oleh : Dr. Mohd. Asri b. Zainul Abidin

 

 

 

 

 

 

Wajip wanita muslimah memakai niqab اatau purdah adalah pendapat sebahagian para ulama. Sementara jumhur (majoriti) ulama berpendapat muka wanita tidak termasuk di dalam auratnya. Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya. Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahasan para imam ahli sunnah wal jama`ah.

Saya menyokong pendapat jumhur ulama yang menganggap purdah bukanlah suatu kewajipan. Wajah wanita bukanlah aurat. Namun saya tidak berhasrat untuk memerangi wanita yang berpurdah, selagimana saya dapati mereka cuba melaksanakan tuntutan agama yang mereka faham. Ini adalah hak dan kebebasan yang wajar diiktiraf. Bahkan di satu sudut ianya lambang kesungguhan iltizam terhadap apa yang diyakini sebagai kewajipan. Untuk apa kita menekan golongan yang berpurdah sedangkan dalam masa yang sama kita membiarkan wanita-wanita lain yang mendedahkan tubuh dan aurat secara berleluasa sehingga memadam nilai diri mereka sebagai wanita muslimah dan beriman.

Namun artikel ini ditulis sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan oleh sebahagian wanita muslimah yang ingin mengetahui kedudukan purdah di dalam perbahasan ulama. Adalah kurang tepat jika ada yang memakai purdah sekadar ikutan sahaja. Maka artikel ini ditulis untuk menerangkan bahawa pendapat yang mewajibkan purdah adalah lemah.

Seperti yang saya sebutkan, persoalan memakai purdah atau yang disebut sebagai niqab bagi wanita adalah persoalan khilafiyyah. Maksudnya para `ulama berbeza pendapat mengenainya. Namun pendapat yang mewajibkan berpurdah adalah lemah, justeru itu berpegang kepada pendapat ini adalah berpegang kepada pendapat yang lemah.

Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) di dalam kitabnya المجموع Al-Majmu’ katanya: “Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad” (al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, 169, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)

Di zaman ini, antara ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah aurat ialah al-Syeikh Ibn Baz r.h. (mufti Saudi yang telah meninggal) dalam fatwa-fatwanya yang banyak, diikuti oleh kebanyakan para ulama di Saudi. Sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab li al-Marah” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalam Jilbab al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah” dan kitabnya yang akhir sebelum beliau meninggal sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut iaituالرد المفحم Al-Radd al-Mufhim. Begitu juga Muhammad al-Ghazali r.h. dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.

Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

-Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31

Maksudnya:“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.

Berpandukan ayat ini pihak jumhur berhujah dengan dua perkara:

Pertama: Jumhur menafsirkan maksud: (maksudnya kecuali yang zahir daripadanya) ialah wajah dan tapak tangan. Ini sama seperti yang ditafsirkan oleh Ibn `Abbas, Umm al-Mukminin`Aisyah, `Abdullah bin `Umar, Anas bin Malik, Abu Hurairah, al-Miswar bin Makhramah dan lain-lain. Sesiapa yang inginkan pendetilan mereka boleh melihat kitab-kitab tafsir, hadith dan fiqh ketika para `ulama menghuraikan ayat ini. Al-Syeikh al-Albani r.h. mendetilkan perbincangan ayat tersebut dalam kitabnya Al-Radd al-Mufhim bagi membukti bahawa muka dan tapak tangan bukannya aurat bagi wanita muslimah dan beliau menyenaraikan riwayat yang membuktikan para sahabah berpegang kepada pendapat yang menyatakan muka dan tapak tangan bukanlah aurat.

Kedua: ayat di atas menyatakan: (maksudnya): “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”. Allah hanya memerintahkan agar ditutup juyub iaitu jamak kepada jaib ataupun kita terjemahkan sebagai bahagian dada yang terdedah disebabkan belahan leher baju. Ini bermaksud wanita diperintahkan agar tudung kepala mereka dilabuhkan sehingga menutup bahagian dada yang terdedah kerana belahan leher baju. Ayat ini tidak langsung menyebut agar mereka menutup wajah mereka. Kalaulah wajah itu adalah aurat, maka sudah pasti ayat ini akan turut memerintahkan agar mereka menutupnya juga.Oleh itu al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 456H) menyebut dalam Al-Muhalla: “Ayat ini adalah dalil bahawa diharuskan membuka wajah, tidak mungkin sama sekali difahami selain dari itu” (Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla bi al-Athar, jld.2, m.s. 247, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Di samping perlu diberikan perhatian bahawa ayat ini adalah dalil yang menunjukkan kewajipan menutup kepala, tengkuk dan dada. Ini jelas di dalam ayat di atas. Oleh itu pendedahan kepala, tengkuk dan dada yang dilakukan oleh sebahagian wanita muslimah adalah menyanggahi arahan al-Quran. Adapun apa yang ditakwilkan oleh sebahagian penulis semasa bahawa bahagian-bahagian tersebut tidak termasuk di dalam aurat wanita muslimah adalah penyelewengan dalam penfsiran ayat. Ketika menafsirkan ayat ini al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) berkata: “Hendaklah mereka (wanita) melabuhkan tudung mereka ke atas belahan baju mereka, supaya menutup rambut, tengkuk dan anting-anting mereka”. (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan `an Takwil ai al-Quran, jld. 5, m.s. 544, cetakan: Dar al-Qalam, Damsyiq)

-Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 52 (maksudnya) Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi s.a.w.. Daripada ayat ini jelas bahawa para muslimat ketika zaman baginda s.a.w. tidak menutup wajah mereka, jika tidak bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian baginda Nabi s.a.w. Ini tidak mungkin melainkan wajah mereka terbuka dan dapat dilihat.

Di samping itu ayat ini menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan seseorang lelaki ingin mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya. Ini adalah salah satu fitrah yang wujud dalam jiwa seseorang lelaki, kecantikan salah satu faktor yang mempengaruhi jiwa. Hinggakan wanita-wanita syurga yang dijanjikan kepada golongan solihin juga disifatkan al-Quran kecantikan mereka agar hati kita tertawan. Juga dalil diharuskan seorang lelaki melihat wanita yang ingin dikahwininya. Kata al-Imam al-Qurtubi: “Pada ayat ini adalah dalil diharuskan seseorang lelaki melihat kepada seseorang wanita yang ingin dikahwininya”. (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jld. 14, m.s. 321, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)

-Di dalam sebuah hadith daripada Abu Kabsyah al-Anmari, katanya:

Suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk bersama sahabat-sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk (ke dalam rumah baginda), kemudian keluar dalam keadaan baginda sudah mandi. Kami pun bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?”. Jawab baginda: “Ya! Telah melintasi di hadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku pun mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kamu lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani di dalam al-Ausad . Al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, pada hadith yang ke- 235, berkata: sanad hadith ini hasan, bahkan lebih tinggi dari hasan) .

Dalam hadith ini walaupun rawi hadith tidak menyebut nama wanita berkenaan, tetapi perkataan fulanah dalam bahasa arab bermaksud wanita tertentu yang dikenali. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mengenalinya. Sebagai Rasul yang bersifat dengan keinsanan maka timbulnya perasaan dalam hati baginda seperti mana ianya timbul dalam jiwa seorang insan lelaki yang normal. Maka untuk melepasi perasaan tersebut baginda mendatangi seorang daripada isteri-isteri baginda, iaitu Zainab seperti yang dinyatakan dalam riwayat yang lain. Juga hadith ini adalah tunjuk ajar Nabi s.a.w. secara praktikal kepada para sahabah dan umat agar melepasi syahwah yang timbul secara halal. Sekiranya wajah wanita berkenaan tidak kelihatan, mana mungkin baginda mengenalinya dan timbul pula perasaan syahwah baginda.

Perlu diingatkan, kita jangan salah faham terhadap Nabi s.a.w. di dalam hadith ini. Hadith ini sebenarnya melambangkan kesempurnaan baginda sebagai rasul yang diutuskan. Baginda tidak bersifat malaikat sehingga tidak ada sebarang perasaan terhadap wanita. Baginda adalah insan yang diwahyukan. Sifat kemanusiaan adalah penting bagi membolehkan manusia mencontohi baginda. Sekiranya baginda malaikat, tentu manusia akan berkata “bagaimana kami ingin mencontohi malaikat yang tidak bernafsu?”. Allah mengutuskan seorang nabi dari kalangan manusia yang mempunyai ciri-ciri manusia, di antaranya; bernafsu kepada wanita. Ini membolehkan baginda memimpin manusia bagaimana mengalirkan nafsu ke jalan yang halal dan diredhai Allah. Oleh itu dakwaan sebahagian golongan sufi untuk menghapuskan nafsu atau syahwah dalam jiwa manusia adalah dakwaan karut. Islam tidak menghapuskan perasaan syahwah dan nafsu yang ada di dalam jiwa manusia, sebaliknya Islam membimbing ke jalan yang halal.

Oleh itu di dalam riwayat-riwayat yang lain disebut:“Apabila seseorang kamu melihat seseorang wanita yang mengkagumkan, maka datangilah isterinya, kerana itu dapat menyelesaikan apa yang ada dalam dirinya”(shahwat) (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Baihaqi, Ahmad, lafaz hadith di atas ialah lafaz al-Imam Ahmad).

Jika kita teliti hadith ini, kita akan bertanya, “bagaimana mungkin kecantikan wanita zaman tersebut boleh menarik perhatian lelaki jika mereka semua menutup wajah atau berpurdah?. Ini menunjukkan mereka tidak menutup wajah mereka.

-Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain: Daripada Ibn `Abbas r.a., katanya:

Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah s.a.w. (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khath`am. Lalu al-Fadhal memandangnya dan dia pun memandang al-Fadhal. Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Dalam riwayat al-Nasai dinyatakan: Lantas al-Fadhal bin `Abbas memandangnya. Dia adalah seorang perempuan yang cantik Maka Nabi pun memusingkan wajah al-Fadhal ke arah lain.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan wanita pada zaman Nabi s.a.w tidak menutup wajah mereka. Sementara Nabi s.a.w pula hanya memusingkan wajah al-Fadhal tanpa menyuruh wanita berkenaan menutup wajah. Sekalipun dia sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat yang menyatakan wanita yang berwajah cantik wajib menutup muka juga adalah tidak kukuh. Kata Ibn Hazm: “Sekiranya wajah wanita itu bertutup tentunya ibn `Abbas tidak mengetahui wanita itu cantik atau hodoh” (Ibn Hazm, Al-Muhalla, jld 2, m.s. 248)

Jika dibaca kesuluruhan hadith di atas, kita akan tahu, peristiwa itu berlaku pada haji wada’. Sedangkan ayat hijab dalam al-Quran turun sebelum itu lagi, iaitu pada tahun 5 hijrah. Maka dakwaan yang menyatakan perintah menutup wajah datang selepas itu, adalah tidak tepat.

Inilah sebahagian daripada dalil-dalil yang banyak yang dikemukakan oleh jumhur `ulama bagi membuktikan wajah wanita bukan aurat. Berpegang kepada pendapat jumhur dalam hal ini adalah lebih jelas dari segi nas atau dalilnya, juga lebih memudahkan seseorang muslimah di dalam dunia semasa yang ada. Islam itu mudah dan praktikal seperti yang ternyata pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Dalil-dalil ulama jumhur lebih kuat dalam hal ini. Hendaklah para pengajar agama mengajar orang ramai dalil-dalil yang lebih kuat, apatah jika ianya memudahkan orang ramai mengamalkannya. Ternyata pendapat berpurdah satu kewajipan tidak begitu teguh dalil-dalilnya. Mengamalkan yang tepat dan sederhana itu adalah jaminan terhadap kesinambungan umat untuk terus beriltizam dengan agama. Mengamalkan yang susah dan lemah itu, akan menjadikan ianya akan terlucut pada suatu hari nanti.

 

About these ads

24 responses

  1. salam kenal ukhti..

    saya ingin memakai purdah.. tp.. :(

    Februari 15, 2008 at 9:40 am

  2. salam, ya ukhti…
    saya ingin bertanya, di mana boleh saya beli purdah yg seperti ukhti pakai ini yg berwarna hitam? di manakah kedai yg menjual purdah ini di Kuala lumpur.
    harap balas.
    sekian.

    Jun 25, 2008 at 10:52 am

  3. Ikhwan

    Salam,
    sedang mencari jodoh yang memakai purdah, tapi sehingga sekarang masih belum ade jodoh.
    Purdah boleh dapat dekat Masjid Sri Petaling, dekat situ banyak pilihan.

    September 3, 2008 at 4:28 am

  4. Novia: Moga Allah beri kekuatan…. Ameen!

    September 3, 2008 at 12:54 pm

  5. Halimatus: Purdah seperti kata ikhwan boleh didapati di Masjid Sri Petaling, tetapi saya sudah biasa membuatnya sendiri :)

    September 3, 2008 at 12:56 pm

  6. Ikhwan: Moga mendapat apa yang diharapkan. Bulan Ramadhan yang mulia ini banyakkan berdoa… Insya Allah akan dimakbulkan. Ameen!

    September 3, 2008 at 12:57 pm

  7. Ikhwan

    Entahlah, usia saya sekarang dah 33 dan masih belum ade jodoh yang berpurdah. Entah, saya sendiri pun tak tahu kat mana nak tanyakan. saya seorang muallaf Cina.

    September 15, 2008 at 6:59 am

  8. Ikhwan: Rapati diri dengan golongan yang baik, insya Allah akan mendapat yang baik juga, walaupun tak disangka2…..

    September 15, 2008 at 9:15 am

  9. BaLQis

    salam kak..boleh tak ajar cam mana nak jahit purdah sendiri? saye minat la nak blajar..mekasih.. =)

    September 18, 2008 at 9:36 pm

  10. Syuhada

    Zahraannur: Bleh ajar care nk buat purdah n tunjuk gamba sekali…hehehe……Trima Kasih…

    Disember 12, 2008 at 3:18 pm

  11. Balqis: insya Allah akan dipost nanti…

    Disember 12, 2008 at 10:06 pm

  12. Syuhada: insya Allah akan saya postkan dalam blog..

    Disember 12, 2008 at 10:07 pm

  13. Syuhada

    Terime Kasih, Akak.

    Januari 3, 2009 at 10:20 am

  14. Sayangibu

    Syukur sejuk mata memandang.ana hrap kpda muslimah2 islam perjuangkn saudara2 kta y mna bkn nk mhrap pkai purdah.tudung y scra qat’i wajib dpakai pun ntah ke mna.smga allah mberi hidayah kpada saudara2 kta seislam…amin

    Januari 4, 2009 at 11:28 am

  15. Syuhada: sama2. sekarang agak sibuk. nak mengupdate blog inipun tak punya waktu.

    Januari 4, 2009 at 12:37 pm

  16. Sayangibu: sedih melihat anak-anak sekarang…

    Januari 4, 2009 at 12:39 pm

  17. nuaz_18

    canteek blognye…sedih plak coz sy x perna dibgtau oleh wife sy ttg blog nie :((

    Januari 5, 2009 at 3:41 pm

  18. cantik… tapi saya percaya wife saudara tentu dah lama mengikuti blog ni. :)

    Januari 21, 2009 at 11:22 pm

  19. Ikhwan

    Saya copy dari salah satu forum cara-cara menjahit purdah.

    1st step
    ukur panjang muka. lebihkan lebar dalam 3 inci lebih kurang

    lipat dua panjang kain.. lepas itu belah dalam pendekkan sedikit.. dalam panjang dari atas hidung ke bawah dagu.yang bahagian luar tak kisah nak panjang mana. tapi nak selesa biar sampai aras dada.

    lepas itu kalau potong kain tadi. nak buat bujur boleh.. nak buat 4 segi boleh. lepas itu tepi kain tu bakar dengan lilin. Potong kain segi empat tepat, lipatkan jadi segi tiga & jahitkan di bawah bahagian dagu (tutup dagu).

    2nd step:
    pilih, nak guna getah atau benang. buat jahit jelujur atas lipatan kain (yang di terang kat atas)sebaiknya kalau nak kemas, gosok dulu lipatan tu. lepas tu sebelum di matikan jahitan, tarik hujung benang yang terakhir untuk buat kedut. dan kemudian matikan jahitan.dah siap

    ada juga yang tak nak buat kedut, bergantung keselesan sebab kalau ada kedut dia terletak kemas atas hidung & bawah mata. kalau pakai spek pun tak terganggu rasanya

    3rd step:

    kalau nak pakai butang, beli butang katup & jahit di tepi hujung jahitan tadi.

    Februari 12, 2009 at 4:55 pm

  20. wilma

    slm..bagi ana pula,mana yang yakin purdah itu jatuh wajib boleh melaksanakan tapi ana lebih yakin pada yang mengatakan tidak wajib tambah2 lagi dengan situasi dakwah di malaysia, dimana kelemahan2 umat islam,seandainya ana keluar memakai purdah, adalah sangat jarang orang yang mengenali ana untuk menegur kerana kadangkala ana tidak alert dengan persekitaran,adalah sangat rugi ana tidak mampu mendakwahi atau bertegur sapa dengan mereka yang mengenali ana,maka ana hanya melabuhkan tudung, menutup kaki(walaupun ada yang melonggarkan kewajiban stokin atas dalil yang diyakini tapi ats sebab malu ana lebih memilih memakai stokin)hanya muka dibiarkan,namun beringatlah! bukan semua yang bertudung labuh itu tinggi takwanya,namun perempuan2 yang bertakwa akan berusaha sebaik mungkin melabuhkan tudung dan pakaiannya. ini pandangan yang ana peroleh dari akhawat, seandainya hendak berpurdah tafadhol dengan niat ingin menutup kecantikan,akan tetapi tutuplah sehingga hanya mata yang mampu dilihat atas asbab kening seorang perempuan itupun mampu di i’rab malahan kita masih mampu mengetahui kecantikan seorang perempuan seperti dalam filem ayat2 cinta, ada satu scene di mana aisyah menghantar fahri(selepas berkahwin) ke universiti maka terlihatlah oleh beberapa rakan fahri walaupun perempuan dengan ucapan” cantik ya aisyah itu”,walhal tidak mengetahui wajah aisyah tanpa purdah..inikan pula yang melihatnya lelaki..afwan..sekadar memberi pandangan,ana masih lemah ilmu..lemah amal,moga Allah ampuni kiranya tersalah bahasa,mengguris rasa..jazakillah

    Mac 10, 2009 at 3:00 pm

  21. salam..saya pernah diberitahu bahawa jika wajah seorang wanita itu membuatkan wanita lain menimbulkan syahwat, maka di hadapan wnita lain itu pun dia perlu menutupnya..ukhti zahraannur, sy ingin bertanya bagaimana pula dgn wanita yg memakai niqab apabila kluar dari rumahnya namun tidak memakainya bila berada di tempat kerja kerana tidak dibenarkan di situ,apa pendapat ukhti?

    September 27, 2010 at 11:11 am

  22. Nurul Husna

    salam ukhti..ana copy yah artikel enti ni kat fb ana…syukran =)

    Disember 2, 2010 at 10:53 am

  23. umi

    Assalamualaikum WBT.

    Saya tertarik membaca entry ini..syukran di atas perkongsian yang bermanfaat ini.

    Selepas membaca tulisan zahraannur, saya telah melawat sebuah lagi blog yang membicarakan tentang hukum purdah. Pemilik blog tersebut adalah seorang wanita yang berpurdah dengan pegangan bahawa berpurdah itu wajib.

    Beliau telah mengemukakan dalil al-Quran dan hadis yang sama yang zahraannur gunakan, cuma tafsiran dan penerangannya yang berbeza dimana beliau meyakini bahawa ianya(berpurdah) adalah wajib.

    Memandangkan saya bukan lah seorang yang ahli tentang hukum. Jadi saya agak terkeliru. Andai zahraannur punya masa mungkin boleh dilawati blog sahabat kita ini kerana saya ingin mendengar pendapat anda selanjutnya setelah meneliti blog saudari ini.

    Di sini saya sertakan link blog beliau: http://keranacinta.wordpress.com/2011/04/13/aku-mahu-pakai-purdah/

    Andai ada teman-teman yang arif, saya sangat inginkan pendapat anda yang disertakan hujah-hujah yang meyakinkan.

    Wassalam..

    Jun 5, 2011 at 5:29 pm

  24. misna

    Assalamualaikum wbt….
    akak zahraannur.. saya bru berumur 19 tahun dan masih menuntut di sebuah ipta temptan.. saya baru mula berpurdah… ketika di ipt saya tidak digalakkan untuk berpurdah ketika di kuliah jadi saya akan membuka niqab saya ketika itu.. tetapi selain itu saya memakai niqab.. saya sedang cuba utk beristiqamah dalam berniqab.. adakah salah, saya membuka niqab di dalam kuliah yang mempunyai pelajar lelaki disebbkan peraturan ipt.??

    Jun 17, 2012 at 11:20 am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.