"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" IMAM NAWAWI….

Archive for Mei 10, 2007

~***Pencemaran Kisah-kisah Al-Quran***~

Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Al-Quran adalah kitab yang agung, bersih dari nilai-nilai cemar yang mengoyak kejelasan risalah suci yang terkandung di dalamnya. Al-Quran bukannya buku atau majalah lucu, yang membawa watak khayal dan lucu. Al-Quran adalah risalah Allah untuk umat manusia.

Namun kesilapan dan kurang memahami manhaj ilmu dengan baik telah menjerumuskan sebahagian penulis dan penceramah ke lembah kekarutan dalam menggambarkan watak-watak cerita di dalam al-Quran. Risalah kecil ini saya hidangkan untuk sahabah-sahabah sebagai satu muqaddimah awal dalam gerak kerja kita membersihkan anasir-anasir cemar ini di dalam pemikiran umat.

Penceramah dan Pencemaran al-Quran

Seorang penceramah berceramah untuk orang ramai mengenai Nabi Allah Ayyub a.s., antara katanya: “Nabi Ayyub a.s. telah ditimpa penyakit yang dahsyat sehingga keluar ulat dari tubuhnya. Ulat-ulat tersebut yang jatuh ke darat menjadi lebah, sementara yang jatuh ke laut menjadi gamat…”. Seterusnya beliau berkempen kelebihan madu lebah dan air gamat yang dijualnya.

Seorang penceramah yang lain pula menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. Kesimpulan dari kisah yang dibawanya, beliau mengajar orang ramai do`a agar wajah kelihatan kacak dan cantik, yang entah dari mana direkanya, diikuti dengan petua bahawa sesiapa yang hendak mendapat anak lelaki maka hendaklah banyak menyebut nama “Yusuf!, Yusuf!, Yusuf” dan sesiapa yang hendak mendapatkan anak perempuan, maka hendaklah membanyakkan sebutan “Maryam!, Maryam!, Maryam!”.

Ini adalah dua contoh yang saya bawa daripada entah ribu bentuk dan gaya bercerita yang membabitkan para anbiya’ dan solihin yang telah dicemarkan dengan kejahilan dan keterbabasan lidah para penceramah serta bercampur dengan riwayat Israiliyyat. Maka bergabunglah rekaan penceramah atau ustaz dan rekaan Yahudi di dalam sesebuah ceramah atau kuliah agama. Watak-watak agung yang sebahagian besar mereka disebut di dalam al-Quran telah diolah dalam bentuk yang menghilangkan nilaian perjuangan serta tujuan kebangkitan mereka. Watak-watak mereka dicemari dengan tokok tambah yang akhirnya melucukan sesiapa yang mendengar kisah mereka.

Lantas menjadikan sebahagian manusia mempersoalkan kebenaran kisah mereka. Bahkan wajah cerita mereka kadang-kala diperlihatkan begitu ‘kartun’ sekali seperti mana sebahagian lidah para pendusta agama yang mereka-reka kisah Nabi Sulaiman a.s. dan sang kancil, lalu jadilah cerita ini memenuhi buku-buku jalanan yang mencemar Nabi yang agung itu.

Kisah-Kisah Al-Quran Hilang Fungsi

Akhirnya kita dapati kisah-kisah al-Quran menjadi sudah tidak indah lagi. Ianya dicemarkan oleh para penceramah atau penulis yang menghiasi kisah-kisah tersebut dengan watak-watak dan adegan-adegan tambahan yang kadang-kalanya memandulkan tujuan kisah-kisah al-Quran. Nabi Sulaiman a.s umpamanya, telah dicemari kisahnya, hilang peranannya sebagai seorang nabi yang berjuang dan berdakwah seperti yang hendak ditonjolkan oleh al-Quran. Tinggallah hanya kisah-kisah ajaibnya semata-mata. Nabi Yusuf a.s. pula umpamanya, yang berdakwah dalam dan luar penjara kepada tauhid, yang menduduki kerusi kewangan negara dan mentadbir dengan keadilan dan kebijaksanaan, hilang ditelan kisah kekacakannya sahaja. Lebih malang lagi, ada yang membuat petua-petua untuk kacak atau cantik dan berseri dengan jampi-jampi yang menyebut nama Nabi Yusuf. Seolah-olah kisahnya di dalam al-Quran itu khas untuk mak andam.

Nabi Nuh a.s. pula, telah berdakwah dengan tidak putus asa kepada kepada tauhid dalam tempoh yang panjang, bersama dengan pengorbanan dan kesabaran, ini semua hilang dari pemikiran sebahagian umat. Bahkan ada yang hanya mengenang Nabi Nuh a.s. dengan menyedia bubur asyura, dengan dakwaan palsu bahawa demikianlah bubur Nabi Nuh a.s. ketika di dalam kapal. Seakan-akan Nabi Nuh a.s. itu datang hanya sebagai pemberi resipi khayalan tersebut. Maka robohlah keagungan anbiya ditelan kedangkalan kita terhadap tujuan kedatangan dan pengutusan mereka. Ini semua kadang-kala menjadikan generasi moden yang kurang faham terhadap agama bertambah keliru dan akhirnya mungkin menganggap agama sebagai dongengan semata.

Tujuan Kisah-Kisah Al-Quran

Sebenarnya, dalam al-Quran ada banyak kisah-kisah silam yang dimuatkan. Namun al-Quran bukanlah sebuah buku cerita yang semata-mata untuk bercerita tanpa arah tuju yang jelas. Kata al-Syeikh al-Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitabnya al-Mu’jizah al-Kubra, al-Quran : “Sesungguh al-Quran bukanlah sebuah buku cerita, tidak juga seperti riwayat-riwayat kisah yang menyebut peristiwa-peristiwa khayal atau sebenar. Sebaliknya, kisah-kisah al-Quran adalah kisah peristiwa-peristiwa yang benar, yang membawa pengajaran, memberikan bandingan, menjelaskan tempat golongan yang sesat dan kedudukan golongan yang mendapat pertunjuk, akibat kesesatan dan kesudahan hidayah. Ianya menerangkan apa yang ditentang oleh para nabi dan seluruh para penyeru kebenaran di belakang mereka. Ianya kisah-kisah untuk pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang berlaku, bukan untuk sekadar sedap didengari dan bacaan semata. Untuk itu Allah ta`ala berfirman pada akhir kisah Nabi Allah Yusuf a.s. (Surah Yusuf, ayat 111) yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka (rasul-rasul) itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal. Ia (Al Quran) bukanlah cerita-cerita dongeng tetapi ia membenarkan kitab-kitab yang terdahulu, dan juga penjelasan tentang segala sesuatu, dan rahmat kepada orang-orang yang beriman.”

Sumber: al-ahkam.net


~***Wanita Pilihan***~

Kelebihan dan keistimewaan wanita sememangnya sentiasa menjadi sebutan dan kebanggaan. Kelebihan dan keistimewaan ini akan menjadi lebih berharga jika dihiasi keimanan serta ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Lihatlah sahaja keperibadian Fatimah al-Zahra’, puteri Rasulullah s.a.w. yang sangat dikasihinya. Ketabahan, kesabaran dan keteguhan peribadinya menepati apa yang pernah dikatakan oleh ayahandanya, “Wahai Fatimah, sabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik wanita ialah yang memberi manfaat kepada keluarganya”.

Fatimah r.a. membuktikan bahawa beliau bukan sahaja menyumbangkan bakti untuk keluarganya bahkan kepada seluruh keluarga generasi Muslim sehingga kini. Selain isteri salihah yang sangat bertanggungjawab, Fatimah juga diceritakan sentiasa membantu ayahandanya dalam apa juga keadaan terutama pada saat-saat yang genting. Umpamanya dalam peperangan Uhud, diriwayatkan daripada Sahl r.a. bahawa ia ditanya tentang luka yang dialami oleh Nabi s.a.w. Jawab Sahl, wajah Nabi s.a.w. terluka, gigi hadapannya patah dan serbannya koyak. Maka Fatimah membersihkan darah dan `Ali pula menyiramkan air. Kemudian apabila Fatimah mendapat tahu bahawa air hanya akan menyebabkan darah lebih banyak keluar, maka beliau mengambil sepotong tikar lalu dibakarnya sehingga menjadi abu kemudiannya ditampal pada luka tersebut, barulah darah berhenti.

Selain Fatimah al-Zahra’, Maryam binti `Imran dan Ratu Balqis juga merupakan antara wanita yang memiliki keperibadian yang cemerlang. Kekuatan jiwa dan semangat kental yang ada pada diri mereka wajar dijadikan teladan.

1. Maryam binti `Imran

Kisah wanita cekal ini diabadikan al-Qur’an dalam beberapa surah seperti Surah `Ali Imran dan Surah Maryam. Ibu Maryam bernazar apabila beliau melahirkan anak kelak (yang diharapkannya seorang lelaki), anaknya itu akan berkhidmat di Baitul Maqdis iaitu Masjid Aqsa. Walau bagaimanapun, beliau akhirnya melahirkan seorang anak perempuan iaitu Maryam. Maryam dewasa dan menjadi seorang wanita yang sangat jujur. Seluruh hidupnya dihabiskan untuk melaksanakan perintah Allah dan Maryam sentiasa memperoleh bimbingan serta perlindungan Allah; sesuai dengan doa ibunya yang menyerahkan Maryam kepada Allah s.w.t. sebagai nazarnya.

Terjemahan : “… Sesungguhnya aku telah menamai dia Maryam dan aku melindungkannya serta anak-anak keturunannya kepada (pemeliharaan) Engkau daripada syaitan yang terkutuk.”

(Surah Ali `Imran 3:36)

Maryam memperoleh kurniaan yang sangat besar ketika berusia tiga belas tahun. Jibril a.s. yang menjelma sebagai seorang lelaki membawa berita kepada Maryam bahawa beliau akan hamil dan melahirkan seorang putera yang diciptakan dengan kalimah yang datang daripada Allah. Berita kehamilan Maryam tersebar luas di kalangan Bani Isra’il dan ada di kalangan orang Yahudi yang menuduh Maryam melakukan perbuatan keji dengan Yusuf al-Najjar (yang dikatakan saudara sepupunya dan merupakan lelaki yang salih lagi tekun beribadah). Di samping itu, ada pula yang mengatakan bahawa Maryam melakukannya bersama Zakaria a.s., yang bertanggungjawab memelihara Maryam sesudah kematian bapanya, `Imran. Begitu hina dan zalimnya mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa kepada hamba-hamba Allah yang suci lagi bertaqwa kepada-Nya. Sesudah melahirkan `Isa, Maryam kembali kepada kaumnya. Kisah ini dirakamkan oleh al-Qur’an.

Terjemahan : “Maka Maryam membawa anak itu kepada kaumnya dengan mengendongnya. Kaumnya berkata, `Wahai Maryam, sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang amat mungkar.Wahai saudara perempuan Harun, bapamu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang penzina.’

(Surah Maryam 19:27-28)

Dengan mukjizat kurniaan Allah s.w.t., Nabi `Isa a.s. yang masih bayi itu dapat berkata-kata untuk mempertahankan bondanya yang sememangnya seorang wanita suci. Dalam satu ayat lain, al-Qur’an menegaskan lagi kesucian diri Maryam:

Terjemahan : “Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata, “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas semua wanita di dunia (yang semasa dengan kamu).”

(Surah Ali `Imran 3:42)

2. Balqis, Ratu Saba’

Kisah Balqis iaitu seorang ratu yang memerintah kerajaan Saba’ disebut dalam Surah al-Naml 27, ayat 27-44. Ibu kota Saba’ ialah Ma`arib yang terletak berhampiran kota San’a, ibu kota Yaman sekarang. Ratu Balqis dianugerahi Allah segala kekuasaaan dan kehebatan. Segalanya itu ialah dugaan dan ujian terhadap baginda serta kaumnya. Walau bagaimanapun, Ratu Balqis dan kaumnya masih tidak beriman dengan Allah s.w.t. Mereka yang diperdaya oleh syaitan menganggap bahawa perbuatan menyembah matahari adalah suci dan mereka terhalang daripada mendapat petunjuk Allah s.w.t. Kehebatan kerajaan Ratu Balqis diceritakan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman a.s. Di sinilah bermulanya perundingan dan penawaran Nabi Sulaiman a.s. supaya Ratu Balqis menerima risalah Allah.

Dalam Surah al-Naml ayat 28, disebut:

Terjemahan : “Pergilah dengan (membawa) suratku ini lalu jatuhkan kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan”.

Kewibawaan Ratu Balqis sebagai pemimpin terserlah apabila beliau mengamalkan prinsip syura dengan pembesar-pembesarnya iaitu setelah menerima surat daripada Nabi Sulaiman a.s. Ini dinyatakan oleh al-Qur’an:

Terjemahan : “Berkata dia (Balqis), `Wahai para pembesar, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini), aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku).’

Mereka menjawab, `Kita ialah orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang tinggi (dalam peperangan) dan keputusan berada di tanganmu, maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan.’

(Surah al-Naml 27:32-33)

Ratu Balqis seterusnya menyatakan pandangannya bahawa setiap pemerintah (raja) yang mahu menakluki sesebuah negeri akan membinasakannya dan menjadikan penduduknya hina. Pada fikirannya itulah yang akan menimpa kerajaan Saba’. Oleh itu baginda membuat keputusan supaya dikirimkan urusan yang membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman a.s.

Apabila utusan tersebut sampai kepada Nabi Sulaiman a.s., baginda berkata, “Adakah (wajar) kamu menolong aku dengan harta? Apa yang diberikan Allah kepadaku adalah lebih baik daripada apa yang diberikanNya kepadamu; tetapi kamu berasa bangga dengan hadiah kamu. Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi mereka dengan pasukan tentera yang mereka tidak berkuasa melawannya dan kami pasti akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba’) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan) yang hina dina.” (Surah al-Naml 27:36-37)

Lantas Nabi Sulaiman menanyakan kesanggupan pembesar-pembesarnya untuk membawa singgahsana Ratu Balqis kepada baginda. Setelah dibawa sebelum sempat matanya berkedip, baginda memerintahkan supaya singgahsana tersebut dirobohkan untuk menguji sama ada Ratu Balqis masih mengenali singgahsananya itu atau tidak.

Kecenderungan tulus ikhlas Ratu Balqis untuk menyahut kebenaran dan seruan suci Nabi Sulaiman juga disebutkan oleh Al-Qur’an:

Terjemahan : “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku. Kami telah diberikan pengetahuan sebelumnya* dan kami ialah orang yang berserah diri”.

(Surah al-Naml 27:42)

(*Maksudnya tentang kenabian Sulaiman a.s. Ratu Balqis telah mengetahui kenabian Sulaiman a.s. sebelum singgahsananya dipindahkan dari Saba’ ke Palestin dalam sekelip mata.)

Ratu Balqis turut mengakui kesilapan dirinya sebagai hamba Allah yang menzalimi diri sendiri kerana tidak beriman dengan-Nya. Dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati, Balqis pun menyatakan keimanannya kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Tuhan semesta alam.

Terjemahan : “Dikatakan kepadanya, `Masuklah ke dalam istana.’ Maka apabila dia melihat lantai istana itu, dianggapnya ia kolam air yang besar dan disingkapkannya kedua-dua betisnya. Berkatalah Sulaiman, `Sesungguhnya ia merupakan istana yang licin yang diperbuat daripada kaca.’ Berkatalah Balqis, `Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam.’

(Surah al-Naml 27:44)


~***Mutiara kata hari ini***~

 

476137401_ff85a6363f.jpg

Manusia selalu berkeluh kesah dengan dugaan yang dihadapi mereka tanpa menyedari, segala dugaan itu diberikan untuk menjadikan mereka manusia yang lebih berguna. Perlu diingat juga, ALLAH tidak menguji makhlukNYA dengan ujian-ujian melainkan ujian yang bersesuaian dengan kekuatan diri makhluk yang ingin diuji… Have A Nice Day..^_^